“Menurut ramalan firma kaji selidik SMITH ZANDER, industri dagangan global dijangka meningkat daripada AS$32.3 trilion (RM129.2 trilion) pada 2017 kepada AS$33.3 trilion (RM133.2 trilion) pada 2019 dan trafik kontena dunia meningkat daripada 770.1 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) pada 2016 kepada 873.2 juta TEU pada 2018.”

KUALA LUMPUR: PDZ Holdings Bhd (PDZ) berkembang ke industri maritim Indonesia selepas memeterai perjanjian persefahaman bersama syarikat perkapalan republik itu, PT Indonesia Bulk Carrier (IBC Group).

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif PDZ, Tan Chor How, berkata MoU antara kedua-dua pihak adalah bagi menyediakan penyelesaian logistik maritim secara menyeluruh, selari dengan perancangan pengembangan serantau PDZ.

Katanya, tumpuan PDZ adalah untuk mengembangkan perniagaan syarikat itu di peringkat serantau selain bekerjasama dengan pemain industri maritim terkemuka yang berkongsi visi sama bagi memperoleh keuntungan menerusi pertumbuhan dagangan di ASEAN.

“PDZ sudah lama merancang untuk menembusi pasaran perkapalan Indonesia. Undang-undang perkapalan Indonesia bagi pelabur asing dan dasar kabotaj menyatakan perlunya bekerjasama dengan pemain industri tempatan (Indonesia).

“Kerjasama bersama IBC Group ini memberi peluang kepada PDZ untuk menembusi pasaran Indonesia dan ia dijangka akan menyumbang kepada keuntungan PDZ menerusi rejim percukaian dan inisiatif kerajaan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Chor How berkata, IBC Group adalah peserta industri perkapalan mempunyai reputasi di pasaran Indonesia, yang beroperasi di Jakarta dengan pengalaman pengurusan dalam industri maritim lebih 20 tahun.

Katanya, ia terus berkembang untuk menyokong industri perkapalan negara itu menerusi pelanggan terkemuka seperti Glencore International, Hai Yin Group, Sinarmas Group, SLM, Bukit Asam Group dan Indocement Heidelberg Cement Group.

Menurut ramalan firma kaji selidik SMITH ZANDER, industri dagangan global dijangka meningkat daripada AS$32.3 trilion (RM129.2 trilion) pada 2017 kepada AS$33.3 trilion (RM133.2 trilion) pada 2019 dan trafik kontena dunia meningkat daripada 770.1 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) pada 2016 kepada 873.2 juta TEU pada 2018.

Chor How berkata, rundingan masih berjalan dengan IBC Group, untuk serta dalam perniagaan perkapalan di Indonesia bersama perjanjian pengangkutan pukal kering, yang mana negara itu menawarkan potensi pertumbuhan bagi pengangkutan laut apabila ia terletak di antara laluan laut paling sibuk di dunia.

PDZ kini sedang melaksanakan urus niaga menjana tunai dengan Mercuri Securitis sebagai penasihat utamanya, melalui hak boleh lepas bersama waran percuma bagi menjana RM43 juta.

Ia bagi menyokong perniagaan serantau dalam pengambilalihan kapal, kapal tunda kontena dan tongkang, perbelanjaan limbungan, kontena,  deposit keselamatan, pengambilalihan atau pelaburan ke perniagaan atau aset dan modal kerja.

Mengulas mengenai terbitan hak boleh lepas, Chor How berkata, pasaran saham global dilihat berkembang secara optimistik.

“Pasaran utama berada pada paras tertinggi dan terus kukuh didorong keadaan kadar faedah rendah di seluruh dunia.

“Dow Jones mencecah paras 25,000 dan Hang Seng melebihi 30,000 mata dan Jakarta Composite Index mencatat paras tertinggi lebih 6,000 mata. Di Malaysia, KLCI melebihi 1,800 untuk minggu lalu.

“Dengan sentimen perniagaan kukuh di seluruh dunia, PDZ percaya bahawa 2018 adalah masa terbaik untuk mengembangkan perkhidmatan kami,” katanya.

View Original Article